Sabtu, 30 Januari 2010

Minggu 2 (25hb - 29hb Jan 2010)

MINGGU KEDUA PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

MASALAH
Pada minggu kedua P&P dijalankan, saya telah menghadapi masalah dari sudut disiplin murid.

ANALISIS
Masalah mungkin timbul kerana penerimaan guru baru yang mengajar di kelas dan mereka sangat teruja sehingga memperlihatkansikap mereka yang kurang memuaskan seperti suka bercakap, mahu diberi perhatian, menjawab soalan tetapi tidak mengangkat tangan sebaliknya masing-masing terus menyatakan sesuatu (menjadikan kelas tidak terkawal dan keadaan menjadi bising), suka berdiri semasa guru menerangkan langkah akiviti, sikap suka mentertawakan rakan dan berbual sesame mereka.

CADANGAN UNTUK MEMPERBAIKI
1. Saya perlu berbincang dengan guru pembimbing samada cikgu Salinda mahupun cikgu Nazri berkenaan dengan tips cara-cara untuk mendapatkan perhatian murid semasa proses P&P berlangsung.

2. Jika perkara ini berlaku juga, saya akan menegur sikap mereka. Menyatakan pada mereka bahawa mereka perlu memberikan perhatian agar mereka dapat melakukan aktiviti atau tugasan yang akan diberikan dengan langkah yang betul.

3. Saya juga akan mendapatkan tips atau cadangan untuk mengawal murid dan kelas dari guru-guru yang lain dan rakan guru pelatih.

TEMPOH MASA
Saya akan mengatasi masalah ini secepat mungkin kerana keadaan kelas yang tidak terkawal akan menyebabkan perjalanan atau kelancaran P&P mungkin terganggu, malah objektif P&P juga tidak akan tercapai.

PENILAIAN SUSULAN
Saya akan meminta kerjasama daripada guru pembimbing untuk memberi penilaian tentang kejayaan saya disamping meminta pandangan dari rakan guru pelatih yang lain.

TINDAKAN SUSULAN
Semasa membuat rancangan persediaan mengajar (RPH), saya akan memikirkan objektif-objektif dan aktiviti yang sesuai yang melibatkan penglibatan semua murid agar mereka yang bermasalah dapat dikawal dan lebih bersedia untuk belajar.

AKTIVITI MINGGUAN
Aktiviti yang dijalankan pada minggu ini ialah menggambar bagi mata pelajaran PSV (major) dan pemahaman bagi mata pelajaran Bahasa Melayu (minor). Bagi kelas 5 Cendekia dan 4 Cendekia, P&P tidak dapat dijalankan kerana sekolah telah mengadakan sukan tara antara rumah. Saya juga terlibat sama menjadi hakim untuk acara lontar peluru.

Sabtu, 23 Januari 2010

Minggu 1 (18hb - 22hb Jan 2010)

MINGGU PERTAMA PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

MASALAH
Pada minggu pertama iaitu pada hari Isnin menjalani latihan praktikum, masalah yang saya hadapi ialah jadual yang diberikan oleh Penolong Kanan 1 (PK1) iaitu Puan Hajjah Latiffah Binti Md. Lazim tersalah susun kerana Puan Hajjah Latiffah menganggap singkatan Pendidikan Seni Visual (PSV) diingatkan singkatan dari Pendidikan Sivik Dan Kewarganegaraan (PSK) kerana surat yang diberikan oleh pihak IPGM Kampus Tuanku Bainun menyatakan PSV. Disebabkan salah faham itu, Puan Hajjah Latiffah terpaksa menyusun semula jadual yang akan diberikan kepada saya dan jadual yang sebenar telah dapat saya perolehi pada hari Rabu.

ANALISIS
Masalah ini timbul mungkin disebabkan oleh perkataan singkatan yang digunakan di sekolah itu sendiri kerana mereka menggunakan singkatan PS untuk pelajaran Pendidikan Seni Visual dan bukannya PSV. Disebabkan singkatan itu, pihak sekolah keliru dengan PSV dan PSK.

PENILAIAN KEJAYAAN
Pada hari pertama prektikum, Guru Besar (GB) sekolah SKPJ iaitu Puan Noraini Binti Jaafar telah memperkenalkan diri beliau. Selain GB, saya diperkenalkan pula dengan pihak pentadbir sekolah iaitu Penolong Kanan 1 (PK1), Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM), Penolong Kanan Ko-kurikulum (PKK) dan pihak staf sokongan sekolah. Guru Besar juga memperkenalkan dua guru pembimbing saya iaitu Cikgu Siti Salinda Binti Salamat bagi membimbing mata pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) dan Cikgu Nazri Bin Haron bagi membimbing saya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM). Sepanjang tempoh minggu pertama praktikum, saya tidak menjalankan sesi P&P kerana ingin masuk ke kelas dengan tujuan untuk perkenalankan diri pada murid-murid kelas yang akan saya ajar sepanjang 13 minggu.

Khamis, 21 Januari 2010

Kenyataan Profesional

          Saya berharap melalui latihan praktikum ini, saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sebenar sekolah, pihak pentadbiran sekolah, guru-guru yang mengajar, murid-murid yang berada di dalam kelas dan juga pekerja-pekerja di Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya (SKPJ). Dalam bidang profesional ini saya dapat menimba beberapa banyak ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang boleh saya jadikan panduan dan pedoman pada saya dalam menjalani praktikum dan sebagai penambahbaikan dan persediaan menjadi seorang guru yang berdedikasi. Saya amat berharap pihak sekolah dapat menerima saya seadanya, memberi teguran, tunjuk ajar dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang perjalanan praktikum selama 3 bulan di sekolah ini.

          Saya juga berjanji pada diri saya sendiri bahawa saya akan memberikan sepenuh usaha dan tenaga saya kepada pihak sekolah disamping menjalinkan hubungan baik dengan semua penghuni Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya. Saya juga akan memberikan komitmen 100% sepanjang saya menjalani sesi latihan praktikum, semasa proses P&P kepada anak murid dan di dalam kelas saya.

           Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Guru Besar SKPJ dan pihak pentadbir kerana memberi peluang kepada saya untuk menjalani latihan praktikum di sekolah ini.