MINGGU KEDUA BELAS PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
MASALAH
Pada minggu kedua belas P&P dijalankan, saya telah menghadapi masalah dari sudut kekurangan pengalaman / pengetahuan sedia ada (tentang teknik).
ANALISIS
Masalah timbul mungkin kerana murid tidak didedahkan dengan kepelbagaian teknik yang ada dalam penghasilan karya. Dalam sesi P&P saya, murid baru belajar mengenali dan menerokai teknik. Dalam keadaan ini, murid masih baru dengan teknik yang dipelajari. Jadi semasa proses penghasilan karya didapati murid agak sukar (lambat) menghasilkannya. Guru perlu menunjukkan satu per satu langkah dengan terang dan jelas. Banyak teguran terhadap proses kerja murid dilakukan. Hasilnya juga kurang memuaskan walaupun aktiviti sangat bersesuaian dengan tahap pembelajaran murid.
CADANGAN UNTUK MEMPERBAIKI
1. Saya perlu berbincang dengan guru pembimbing. Bertanyakan tips cara-cara untuk memilih aktiviti yang bersesuaian pada tahap pengalaman dan pengetahuan sedia ada pada murid.
2. Saya akan memperkenalkan kepada murid teknik yang pelbagai dalam penghasilan karya. Pada P&P saya nanti, saya akan menerangkan langkah-langkah penghasilan karya bagi satu per satu teknik dengan terang, jelas dan dapat difahami oleh murid. Semasa proses penghasilan karya, saya akan turut memantau bagi membantu murid menghasilkan teknik dengan betul.
3. Saya juga akan mendapatkan cadangan atau tips untuk menjadikan P&P saya lebih menarik untuk memperkenalkan satu-satu aktiviti (teknik) dari rakan guru pelatih.
TEMPOH MASA
Saya akan mengatasi masalah ini secepat mungkin kerana kekurangan ini akan menjadikan murid ketinggalan dalam subjek pelajaran. Tahap pembelajaran murid menjadi rendah sedangkan tahap / pencapaian yang sepatutnya adalah yang lebih baik.
PENILAIAN KEJAYAAN
Saya akan meminta kerjasama daripada guru pembimbing untuk member penilaian tentang kejayaan saya disamping meminta pandangan dan pendapat dari rakan guru pelatih yang lain.
TINDAKAN SUSULAN
Semasa proses penerangan aktiviti, guru akan memastikan murid memberi perhatian dan tumpuan sepenuhnya. Guru menggalakkan sesi soal jawab bagi membantu kekeliruan yang dihadapi oleh muird. Guru juga bercadang untuk meminta murid mengadakan sebuah buku seni bagi mendokumentasikan segala aktiviti seni yang telah dipelajari (sebagai rujukan di masa hadapan).
AKTIVITI MINGGUAN
Pada minggu ini P&P berjalan seperti biasa. Guru membuat bidang menggambar dengan membuat lukisan bertajuk Flora dan Fauna. Pada minggu ini juga guru pembimbing Bahasa Melayu membuat penilaian untuk kali kedua dan ketiga. Guru pembimbing PSV pula melihat folio yang saya sediakan. Pada sebelah petang pula, seperti biasa latihan bola baling pasukan sekolah diadakan yang akan dipertandingkan pada 06 Mei 2010. Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya akan menjadi tuan rumah pada tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan