Sabtu, 20 Februari 2010

Minggu 5 (15hb - 19hb Feb 2010)

MINGGU KELIMA PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

MASALAH
Pada minggu kelima P&P dijalankan, saya telah menghadapi masalah yang sama seperti di minggu yang ketiga iaitu masalah penggunaan masa yang tidak tepat sebagaimana yang telah dirancang dalam RPH. Terdapat aktiviti yang telah dirancang tidak dapat dilaksanakan kerana kelemahan tertentu. Hal ini menimbulkan masalah untuk mencapai objektif, khususnya objektif perlaksanaan apresiasi di hujung proses penghasilan tugasan.

ANALISIS
Masalah ini timbul dalam langkah penghasilan, iaitu murid telah mengambil masa yang lama untuk menghasilkan tugasan mereka. Hal ini berlaku kerana murid tidak mengikuti sepenuhnya langkah / proses penghasilan karya dan arahan daripada guru (walaupun lembaran kerja telah diedarkan). Pada langkah ini murid lebih seronok meneroka teknik mereka sendiri sehingga menjadikan aktiviti yang mudah memakan masa yang terlalu lama dan tidak praktikal. Masalah ini berlaku pada kelas 5 Pintar.

CADANGAN UNTUK MEMPERBAIKI
1. Saya perlu berbincang dengan guru pembimbing. Bertanyakan tips cara-cara untuk melaksanakan P&P dalam masa yang telah ditetapkan dan cara untuk memberi kefahaman kepada murid bahawa dengan menepati arahan guru akan menjadikan aktiviti bertambah senang dan P&P bertambah menarik.

2. Saya akan melihat semula aktiviti yang hendak dirancang perlulah mencukupi masa yang ditentukan, bagi mencapai keseluruhan objektif termasuk sesi apresiasi.

3. Saya juga mungkin akan menggunakan masa (5 minit) yang diperuntukkan untuk membuat set induksi untuk terus memperkenalkan aktiviti (aktiviti-aktiviti tertentu). Tetapi saya perlu menyediakan BBM (contoh karya dari guru) yang menarik sehingga boleh menarik minat murid dan sekaligus mereka tahu apakah aktiviti yang akan dilakukan pada sesi P&P tersebut. 

PENILAIAN KEJAYAAN
Saya akan meminta kerjasama daripada guru pembimbing untuk member penilaian tentang kejayaan saya disamping meminta pandangan dan pendapat dari rakan guru pelatih yang lain.

TINDAKAN SUSULAN
Semasa membuat rancangan persediaan mengajar, saya akan memikirkan objektif-objektif dan aktiviti-aktiviti yang sesuai, yang lebih terarah kepada pengenalan teknik dan penghasilan tugasan serta menekankan aspek disiplin kerja pada murid-murid seperti memupuk nilai menepati masa seperti yang telah diperuntukkan.

AKTIVITI MINGGUAN
Pada minggu ini, pada hari Isnin dan Selasa sekolah telah bercuti kerana menyambut Tahun Baru Cina dan dibuka pada hari Rabu. Minggu ini bidang yang telah dipelajari ialah mengenal kraf tradisional. Pada hari Khamis, guru pembimbing memasuki kelas untuk membuat penilaian kali kedua (sila rujuk pada bahagian rekod pembimbing dan penyeliaan).

Tiada ulasan: